Tarik generasi muda sertai PPK












SABAK BERNAM - Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Bernam Jaya antara yang digesa meremajakan agensi itu dengan menarik minat generasi muda menjadi ahli.

Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang Negeri Selangor, Abd Nasir Ismail berkata, melalui usaha itu, generasi muda berkenaan akan dapat menjadi pelapis pertubuhan berkenaan di masa hadapan.

“Apabila golongan muda ini menjadi ahli, mereka seterusnya berperanan untuk melibatkan diri dalam sektor pengeluaran agro makanan seperti jagung, pisang, cili api dan bermacam lagi jenis sayuran juga buah-buahan.

“Kita ada Kor Tani yang boleh dijadikan platform untuk golongan muda memberikan sumbangan mereka khususnya dalam bidang pertanian,”katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Penyampaian Bantuan e-Kasih Projek Ternakan Ayam Kampung dan Penyerahan Peruntukan Khas Program Kor Tani, Pertubuhan Peladang Kawasan Bernam Jaya, di sini.

Hadir sempurnakan program, Pengerusi Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen Sungai Besar, Datuk Abd Rahman Bakri.Turut serta Pengurus Besar PPK Bernam Jaya, Mohd Aizat Rostam.

Sementara itu, katanya, proses meremajakan itu perlu bagi memastikan PPK terus berperanan dan dapat membantu mencapai sasaran 100,000 keahlian seluruh Selangor menjelang 2020.

“Berakhir 31 Disember 2011, keahlian PPK seluruh negeri Selangor mengalami penyusutan hampir 10,000 ahli selepas pemutihan dilakukan menjadikan jumlah keahlian keseluruhan sehingga kini sekitar 33,530 orang.

“Seramai 43,500 nama ada dalam senarai keahlian tetapi 10,000 ahli gagal dikesan antara faktor yang dikenal pasti, ahli berpindah tempat tinggal atau meninggal dunia dan berhenti menjadi ahli,” katanya.
Nasir berkata, penyusutan keahlian yang banyak di negeri ini menyukarkan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Selangor membantu mencapai jumlah satu juta keahlian seluruh Malaysia menjelang 2020 dan bancian semula perlu dilakukan.
-Sumber Sinar Harian.