Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Palong, Datuk Lilah Yassin berkata, untuk memenuhi kehendak itu, pihaknya akan memberikan pendedahan cara tanaman cili padi kerana dilihat mempunyai pasaran yang baik.
“Buat masa ini satu projek fertigasi cili padi secara besar-besaran sedang dilaksanakan oleh anak peneroka dari Felda Palong, Abas Madani Amin yang berumur 22 tahun. Dia adalah graduan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Melaka.
“Biarpun mempunyai Diploma Sains Komputer, minatnya terhadap pertanian mendorong dia mengikuti kursus pertanian.
“Kini projek berkenaan dijalankan di atas tanah seluas 0.809371 hektar milik Felda dan telah pun mengeluarkan hasil,” katanya ketika selepas meninjau projek tanaman cili padi dekat Felda Palong Empat, dekat sini semalam.
Jelasnya, projek tersebut membuktikan semua pihak boleh berjaya asalkan tidak mudah berputus asa malah Felda turut membantu menawarkan tanah kosong untuk menjayakannya.
“Kita akan terus mencari belia Felda, melatih mereka menjayakan projek cili serta memenuhi permintaan di pasaran. Untuk projek tersebut kita akan meminta bantuan Abas Madani untuk memberikan latihan.
“Buat permulaan, tumpuan akan diberikan kepada tanaman cili padi sahaja dan jika perkembangan itu memberangsangkan, kita akan mengalih kepada tanaman lain pula,” ujarnya.
Sementara itu, Abas Madani berkata, sepanjang tahun lalu dia telah menjual 3.5 tan cili padi dengan nilai jualan kasar sebanyak RM35,000.
“Saya menyasarkan untuk melahirkan lebih ramai usahawan dalam bidang tanaman cili itu dan mahu mendidik peserta untuk berubah ke pertanian moden tanpa menggunakan cangkul.
“Untuk projek itu saya menggunakan baja organik yang pastinya lebih selamat dan sekali gus menjaga alam sekitar,” katanya.